Tuesday 29 November 2011

ISTINJAK

Maksud Istinjak

Istinjak dari segi bahasa ialah putus. Manakala dari segi syarak pula ialah menghilangkan najis daripada kemaluan dengan menggunakan air, batu, atau kedua-duanya, atau sesuatu yang dibolehkan syara’ untuk bersuci.

Menurut Dr. Mustofa Al-Khin, Dr. Mustofa Al-Bugho dan Ali Asy-Syarbaji dalam kitab mereka Fikah Al-Manhaji Mazhab Syafie mengatakan bahawa :
“Istinjak ialah menghilangkan najis atau mengurangkannya daripada tempat keluar kencing atau air besar. Perkataan istinjak diambil daripada perkataan an-naja’ iaitu selamat dan terhindar daripada penyakit atau diambil daripada perkataan an-najwah iaitu tanah yang tinggi atau daripada perkataan an-najw iaitu sesuatu yang keluar daripada dubur. Ia dinamakan dengan istinjak di sisi syarak kerana orang yang beristinjak berusaha untuk melepaskan dirinya daripada sesuatu yang menyakitkan. Pada kebiasaannya ia dilakukan di tempat yang tertutup seperti di belakang tanah yang tinggi dan seumpamanya.”

Rumusan dari pendapat di atas mengatakan bahawa istinjak ialah menghilangkan najis ringan atau berat dari tempat keluarnya najis (khubul dan dubur) dengan menggunakan air, batu, kulit kayu atau benda-benda kesat. Tujuan istinjak adalah untuk membolehkan solat atau ibadah lain. Istinjak adalah wajib dilakukan oleh semua umat Islam, sepertimana sabda Rasulullah saw yang bermaksud :
“Bahawa Nabi (s.a.w) melalui dua buah kubur, ketika itu baginda berkata; 'kedua-dua orang ini (yang ada dalam kubur itu) diseksa oleh Allah . Yang seorang diseksa kerana mengumpat-gumpat orang dan yang seorang lagi diseksa kerana tidak beristinjak selepas buang air kecil.” (Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)
Hukum Istinjak

Wajib istinjak dengan air atau dengan batu atau suatu yang keras dan suci dan kesat serta tidak dihormati. Sabda Rasulullah SAW mafhumnya :
“Bahawa Nabi (s.a.w) melalui dua buah kubur, ketika itu baginda berkata; 'kedua-dua orang ini (yang ada dalam kubur itu) diseksa oleh Allah . Yang seorang diseksa kerana mengumpat orang dan yang seorang lagi diseksa kerana tidak beristinjak selepas buang air kecil.” (Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Dosa bagi sesiapa yang meninggalkan istinjak dengan sengaja kerana orang tersebut berada didalam kekotoran.
Rukun Istinjak
  1. Islam.

  2. Alat untuk istinjak, seperti air, batu, kertas atau seumpamanya.

  3. Tempat yang diistinja iaitu qubul dan dubur.

  4. Istinjakkan itu membersihkan sesuatu yang keluar daripada dua jalan iaitu qubur atau dubur.

Syarat Istinjak
  1. Menghapuskan rasa najis.

  2. Menghapuskan bau najis.

  3. Menghapuskan warna najis.

Cara Istinjak
  1. Istinjak mestilah 3 kali berturut-turut, jika masih belum suci, boleh diulang lagi basuhan sehingga suci.

  2. Alat dibuat istinjak mestilah melingkupi tempat yang disapu.

  3. Beristinjak mestilah dapat membersihkan tempat najis yang keluar dari kemaluan manusia.
Istinjak Dengan Batu

Menggunakan satu batu besar atau tiga ketul batu, sapukan kepada tempat keluarnya najis iaitu qubur. Jika diulang-ulang di tempat yang sama dengan satu batu, maka wajib beristinjak dengan menggunakan air. Hadis Rasulullah SAW :
“Dikatakan kepada Salman ra : Sesungguhnya Nabi kamu SAW telah mengajar kamu semua perkara termasuk cara membuang air. Lalu dikata : Benar, sesungguhnya baginda melarang kami mengadap kearah kiblat ketika membuang air besar dan kecil, melarang kami beristinjak menggunakan tangan kanan atau istinjak menggunakan kurang dari tiga biji batu atau beristinjak dengan najis atau tulang.” (Riwayat Muslim)

Afdhal beristinjak dahulu dengan tiga biji batu atau tiga bahagian pada satu buji batu yang besar sehingga diyakini bersih, maka dibasuh pula dengan menggunakan air mutlak sehingga bersih pada bahagian kemaluan yang terkena najis tersebut.

Disunatkan setiap bilangan penyucian itu diganjilkan bilangannya seperti 3, 5, 7, 9 dan seterusnya. Dari Abu Hurairah dari Rasulullah SAW bersabda :
“Sesiapa beristinjak dengan batu, maka hendaklah ia ganjilkan bilangannya. Sesiapa yang memperbuat begitu maka sesungguhnya itulah yang lebih baik, tetapi sesiapa yang tidak berbuat begitu maka tidaklah ia berdosa"
(Riwayat Ahmad dan Abu Dawud)
Cara Isntinjak Dengan Batu

  1. Sunat dimulai dengan menyapu yang pertama pada bahagian hadapan kemaluan yang kanan lalu diedarkan pada tempat permulaan sapuan.

  2. Kemudian mulakan sapuan yang kedua pada bahagian hadapan kemaluan kiri lalu diedarkan kepada tempat permulaan yang disapu.

  3. Sapuan yang ketiga pada hujung dubur atau qubur.

  4. Sunat ketika menyapu dimulai pada tempat yang suci ke tempat yang ada najis secara perlahan-lahan.

  5. Sunat istinjak dengan batu, dahulukan istinjak pada dubur kerana najis pada dubur lebih dahulu kering daripada qubur. Jika najis telah kering, wajib menggunakan air.

Syarat Istinjak Dengan Batu
  1. Najis tersebut tidak terkena tempat lain.

  2. Bagi membuang air besar hendaklah najis tersebut berlemak-lemak, tidak cair atau lembik.

  3. Hendaklah najis itu tidak terkena najis lain ke atasnya. Kalau ia terkena najis lain, maka ia wajib beristinjak dengan menggunakan air mutlak.

  4. Sekurang-kurangnya menggunakan tiga biji batu atau tiga bahagian dari sebiji batu besar. Jika tiga batu masih tiada menyucikan hendaklah ditambah lagi hingga diyakini suci.

  5. Haram beristinjak menggunakan tulang dan najis yang menjadi keras. Begitulah juga haram beristinjak dengan sesuatu yang tertulis perkataan yang dimuliakan seperti ayat Al-Quran, Hadis, ilmu yang bermanfaat, nama-nama nabi-nabi, malaikat dan alim ulamak.

Istinjak Dengan Air Mutlak

Menurut Dato’ Ismail Kamus dan Mohd Azrul Azlen Ab. Hamid dalam bukunya Indahnya Hidup Bersyariat mengatakan bahawa :
“Beristinjak menggunakan air samalah juga dengan menggunakan batu iaitu dibersihkan sehingga hilang bau, rasa, zat dan warnanya.”

Untuk memastikan bersih atau tidak qubul atau dubur, maka boleh dirasakan dengan tangan sendiri, jika ia berasa kesat dan tidak berlendir, maka ia telah dikira bersih dan suci qubul atau dubur. Air merupakan alat yang terbaik untuk beristinjak, kerana air dapat menghilangkan ain, rasa, bau dan warnanya sekali.
Cara Istinjak Dengan Air Mutlak
  1. Tuangkan air dengan menggunakan tangan kanan di atas tempat najis.

  2. Gosok tempat najis dengan menggunakan jari tengah tangan kiri.

  3. Makruh memasukkan jari ke dalam dubur.

  4. Bagi perempuan yang dara semasa beristinjak hendaklah membasuh benda yang zahir pada farajnya ketika ia duduk mencangkung dengan memasukkan sedikit ruas jarinya.

  5. Mendahulukan istinjak pada qubul daripada dubur supaya tidak terpercik najis padanya ketika membasuh dubur.

  6. Sunat selepas istinjak menggosak tangan ke tanah sebelum membasuh tangan.

  7. Sunat ketika istinjak membaca doa.

  8. Tidak sunat mencium tangan selepas istinjak.

  9. Hendaklah hilang ain najis, warna dan rasanya (rasa di tangan). Jika sukar menghilangkan baunya atau warnanya selepas digosak dan dibasuh beberapa kali maka ianya dimaafkan. Bagi memastikan najis telah suci memadai bila merasai kesat pada kulit dubur lelaki dan licin bagi perempuan.

Setelah selesai beristinjak dengan menggunakan air mutlak, batu atau benda-benda kesat, maka disunatkan membaca doa :
“Ya Allah, bersihkan hatiku daripada sifat munafik dan peliharalah kemaluanku daripada kejelekkan (kekotoran).”
Adab Beristinjak

Di sini terdapat etika yang dituntut ke atas setiap muslim supaya melakukannya ketika qada hajat dan beristinjak. Di antara etikanya ialah :
Tempat Menunaikan Hajat
  1. Jalan orang ramai atau tempat mereka duduk atau berkumpul kerana ia boleh menyakitkan mereka. Dari Abu Hurairah ra bahawa Nabi SAW telah bersabda : “Takutlah kamu kepada dua perkara yang membawa kepada laknat. Para sahabat bertanya : Apakah dua perkara tersebut? Rasulullah SAW menjawab : Orang yang membuang air besar (menunaikan hajatnya) di tempat laluan orang ramai atau tempat mereka berteduh.” (Riwayat Muslim)

  2. Dalam lubang pada tanah atau pada dinding dan seumpamanya kerana ia akan menghasilkan perkara-perkara yang menyakitkan. Kemungkinan di dalam lubang tersebut terdapat binatang yang berbisa seperti kala jengking atau ular lalu ia keluar dan menyakitkannya. Kadang-kadang terdapat di dalamnya haiwan yang lemah, maka ia boleh menyakitkan binatang tersebut. Daripada Abdullah Bin Sarjis bahawa ia berkata : “Rasulullah SAW melarang daripada kencing di dalam lubang iaitu lubang tanah.” (Riwayat Abu Daud)

  3. Di bawah pokok yang berbuah bagi memelihara buah tersebut daripada tercemar ketika luruhnya sama ada buah tersebut dimakan atau diambil manfaat dengannya. Ini supaya perasaan seseorang tidak merasa jijik.

  4. Air yang tenang/bertakung. Ini kerana jiwa manusia akan merasa jijik dengan air tersebut sekalipun air itu banyak dan najis tersebut tidak merubah rasa, bau atau warnanya. Atau pun air itu akan dibuang begitu sahaja jika najis itu mengubahnya. Larangan ini juga termasuk pada air yang kurang dari 2 kolah. Daripada Jabir ra daripada Nabi SAW bersabda : “Baginda SAW melarang kencing dalam air (bertakung) tenang” (Riwayat Muslim)

Masuk Dan Keluar Tempat Qada Hajat
  1. Disunatkan kepada orang yang qada hajat supaya melangkah dengan kaki kiri ketika masuk dan dengan kaki kanan ketika keluar. Ini kerana itulah yang lebih layak untuk tempat-tempat kotor dan najis. Dan jangan ia membawa perkataan yang menyebut nama Allah dan juga namaNya yang lain.

  2. Disunatkan juga membaca zikir dan doa-doa yang telah thabit daripada Rasulullah SAW ketika masuk tandas dan keluar daripadanya.

Arah Mengadap

Haram ke atas orang yang qada hajat mengadap kearah kiblat atau membelakangkannya sekiranya ia berada di tempat lapang dan tidak ada pendinding yang tinggi yang menutup auratnya ketika qada hajat.

Begitu juga haram qada hajat di dalam binaan yang tidak disediakan sebagai tempat qada hajat dan tidak mencukupi syarat-syarat pendinding seperti dinding yang tinggi yang menutupi auratnya.

Disyaratkan dinding yang menutupnya itu tidak jauh daripadanya lebih daripada 3 hasta dengan ukuran tangan manusia atau menyamai lebih kurang 150cm. sekiranya binaan tersebut disediakan sebagai tempat qada hajat (tandas) maka janganlah mengadap kiblat atau membelakangkannya. Daripada Abi Ayub Al-Ansari ra. Daripada Nabi SAW bersabda :
“Apabila kamu datang ke tempat qada hajat maka janganlah kamu mengadap kea rah kiblat dan jangan kamu membelakangnya sama ada ketika buang air kecil atau besar, tetapi mengadaplah kea rah timur atau barat.” (Riwayat Al-Bukhari)
Keadaan Orang Yang Qada Hajat


Dia hendaklah duduk di atas tumit kaki kiri dan mendirikan lutut kaki kanan serta tidak melihat ke langit, kemaluannya dan najis yang keluar daripadanya. Ini kerana perbuatan tersebut adalah tidak layak dengan keadaanya itu. Dan makruh dia bercakap dan lainnya ketika qada hajat. Daripada Ibnu Umar ra berkata :
“Seorang lelaki lalu berdekatan Rasulullah SAW yang sedang membuang air kecil. Lalu dia memberi salam tetapi Baginda tidak menjawab.” (Riwayat Muslim)

Makruh juga perbuatan yang lain seperti makan, minum dan bercakap-cakap ketika sedang melakukan perbuatan qada hajat.
Beristinjak Menggunakan Tangan Kiri


Orang yang qada hajat hendaklah menggunakan tangan kirinya untuk membersihkan tempat najis sama ada dengan air atau batu dan seumpamanya kerana itulah yang lebih layak dilakukan. Sekiranya ia menggunakan tangan kanan maka hukumnya adalah makruh sebagaimana makruh menyentuh zakar dengan tangan kanan.

Sekiranya ia perlu kepada memegang zakar untuk membersihkannya dengan batu dan seumpamanya (benda-benda yang beku/pejal), maka ia hendaklah memegang batu tersebut tanpa menggerakkannya dengan tangan kanannya dan tangan kirinya memegang zakar dan mengerak-gerakkannya untuk membersihkan tempat yang najis tersebut. Daripada Abi Qatadah ra daripada Nabi SAW bersabda :
“Apabila seseorang kamu kencing, maka janganlah ia mengambil (memegang) zakarnya dengan tangan kanannya dan jangan ia beristinjak dengan tangan kanannya.” (Riwayat Al-Bukhari)

Alat Yang Haram Digunakan Untuk Istinjak

  1. Tidak sah beristinjak dengan menggunakan benda-benda yang najis atau mengandungi najis, kerana ia akan menambahkan lagi kesan najis yang sepatutnya dikurangkan dengan cara beristinjak. Daripada Abdullah Bin Mas’ud ra berkata : “Nabi SAW telah datang ke tempat qada hajat dan menyuruh aku membawa 3 biji batu kepadanya. Aku hanya dapati dua biji batu dan aku cari yang ketiga tetapi tidak mendapatinya. Kemudian aku mengambil tahi binatang dan bawa kepadanya, lalu Baginda mengunakan dua biji batu tersebut dan membuang najis itu seraya berkata : Ini adalah najis.” (Riwayat Al-Bukhari)

  2. Haram beristinjak dengan menggunakan makanan yang dimakan oleh anak Adam. Contohnya seperti roti dan lain-lainnya. Haram juga beristinjak dengan menggunakan tulang, kerana ia merupakan makanan jin dan haiwan seperti anjing. Daripada Ibnu Mas’ud ra dari Rasulullah SAW bersabda mafhumnya : “Telah datang kepadaku Jin yang memanggil, lalu aku pergi bersamanya dan aku membacakan Al-Quran kepada mereka. Ibnu Mas’ud menceritakan lagi, dan mereka itupun meminta bekalan. Lalu Baginda menjawab : Bagi kamu semua tulang yang disebut di atasnya nama Allah, ia berada di tangan-tangan kamu dalam keadaan daging yang lebih banyak, dan juga tahi-tahi binatang menjadi makanan kepada binatang-binatang kamu.” (Riwayat Muslim)

  3. Haram beristinjak dengan sesuatu benda yang dihormati seperti anggota haiwan yang bersambung dengannya seperti tangan dan kakinya, lebih-lebih lahi anggota manusia kerana perbuatan tersebut berlawanan dengan kemuliaannya.

Hikmah Istinjak

Melakukan istinjak dapat membersihkan anggota badan supaya anggota badan menjadi sihat dan cergas. Orang yang sihat akan sentiasa ceria dan bersemangat dalam setiap pekerjaannya yang dilakukan. Kesihatan yang baik dapat menghindarkan diri daripada segala penyakit yang disebabkan dari kuman atau kekotoran. Sebab itulah Islam sangat mengambil berat soal kebersihan ini kerana ia mempunyai hubungan yang kuat dengan kesihatan.

Orang yang sihat dapat melakukan segala ibadah kepada Allah dengan semangat dan kekuatan tenaga yang ada dan juga dapat melaksanakan ibadah dengan baik dan khusyuk. Allah sangat suka kepada orang yang menjaga kebersihan diri dan kebersihan sekelilingnya. Kekemasan dan kebersihan adalah merupakan sunnah Nabi Muhammad SAW, sebagai umat Islam kita perlu meneladani apa yang telah diajar oleh Nabi Muhammad SAW.

Orang yang mempunyai kebersihan diri akan sentiasa dihormati oleh orang sekelilingnya. Malah ia juga menjadi model atau contoh kepada masyarakat sekelilingnya. Berbeza dengan orang yang tidak bersih, kerana masyarakat akan memandangnya jijik dan mereka tidak mahu mendekati orang yang tidak bersih. Orang yang tidak bersih ini sering kalinya berada dalam keadaan yang tidak terurus, kotor, busuk dan sebagainya.

Beristinjak atau membersihkan diri daripada najis dapat menghindarkan diri dari berbagai-bagai penyakit yang disebabkan kekotoran najis. Kuman yang disebabkan najis yang dikeluarkan oleh seseorang dapat dihilangkan dengan cara istinjak sehingga bersih. Ini bertujuan untuk mengelakkan diri dari dihinggapi oleh berbagai penyakit. Islam telah meletakkan kaedah istinjak yang paling baik kepada umatnya supaya dapat menjauhkan diri daripada berbagai penyakit.

PEMBAHAGIAN NAJIS

Maksud Najis

Dari segi bahasa, najis bererti benda kotor seperti darah, air kencing dan tahi. Dari segi syara`, najis bermaksud segala kekotoran yang menghalang sahnya solat. Menurut Rosli Bin Othman dalam bukunya Al-Mukhtasar Al-Mufid (Ringkasan Hukum Solat dan Taharah) mengatakan bahawa :

“Najis juga boleh diertikan sesuatu benda yang kotor pada pandangan syara yang menghalang sahnya solat dan ibadah-ibadah yang pada maknanya.”

Kesimpulan dari pengertian di atas najis boleh didefinasikan kepada tiap-tiap benda yang kotor dan jijik dan tidak sah solat sekiranya hadir pada badan, pakaian dan tempat untuk mengerjakan solat. Sebelum melakukan solat, hendaklah terlebih dahulu membersihkan tubuh badannya dan pakaiannya dari segala najis. Firman Allah SWT :

“Dan pakaianmu, maka hendaklah Engkau bersihkan.” (Al-Muddatthir : 4)

Najis Mukhaffafah

Najis Mukhaffafah ialah kencing kanak-kanak lelaki yang belum makan makanan selain daripada susu ibu. Untuk membersihkan benda yang terkena najis ini, memadai dengan memercikkan air atas benda itu meskipun tidak mengalir. Adapun kencing kanak-kanak perempuan yang belum makan selain susu hendaklah dibasuh sampai mengalir air di atas benda yang kena najis itu dan hilang zat dan sifat-sifat nya sebagaimana mensuci kencing orang dewasa. Ali ra menyatakan bahawa nabi SAW bersabda :

“Air kencing kanak-kanak lelaki memadai direnjis dan air kencing kanak-kanak perempuan dibasuh”. (Riwayat Ibnu Majah)

Cara Bersuci

Cara membersihkan najis mukhaffafah ialah dengan cara hilangkan ain najis, setelah itu basuh bahagian yang terkena najis dan dilapkan, kemudian percikkan air di atas tempat yang terkena najis, Akhir sekali lapkan dengan kain bersih sehingga kering.


Tambahan

Pada zaman sekarang, ramai ibu-ibu yang memberikan susu formula kepada anak mereka. Ini semua adalah disebabkan faktor pekerjaan yang membuatkan si ibu tiada kesempatan untuk menyusukan anak mereka, situasi seperti ini akan menyebabkan susu ibu tersebut kering dari payudaranya dan terpaksalah mereka memberikan susu formula kepada anak-anak mereka. Air kencing yang dikeluarkan oleh anak mereka ini tidak dikira sebagai najis mukhaffafah walaupun umur anak mereka tidak sampai dua tahun. Najis anak mereka hendaklah dibasuh sepertimana najis mutawassitah.

Ketika membasuh pakaian di dalam mesin basuh jangan mencampurkan pakaian anak-anak, kerana dikuatiri pakaian mereka mempunyai najis. Apabila pakaian dewasa dan kanak-kanak yang mempunyai najis dicampurkan akan menyebabkan pakaian dewasa juga mempunyai najis kerana mesin basuh tidak dapat membasuh dengan cara mencucurkan air dari hujung ke pangkal pakaian tersebut. Cara untuk membasuh pakaian ialah dengan cara mengasingkan pakaian dewasa dan kanak-kanak supaya najis yang terlekat dipakaian kanak-kanak tidak terkena kepada pakaian dewasa. Lebih baik lagi setelah dibasuh dengan mesin, hendaklah dicucurkan pula dengan air mutlak ke pakaian tersebut sehingga bersih. Teknik ini lebih baik dan lebih diyakini kebersihannya.


Najis Mutawassitah

Najis Mutawassitah adalah semua najis selain najis mukhaffafah dan mughalladzah. Ini termasuklah tahi, kencing, darah, nanah,muntah, air liur basi, bangkai, arak dan lain-lain. Najis ini terbahagi kepada dua bahagian seperti :
  1. Najis Ainiah, iaitu najis yang masih wujud ainnya atau kesannya seperti warna, rasa atau bau. Najis ini hendaklah disucikan menurut syara berdasarkan bahagiannya yang akan dinyatakan.

  2. Najis Hukmiah, iaitu najis yang sudah hilang ainnya dan sudah tiada kesannya tetapi belum disucikan menurut syara. Seperti sesuatu yang terkena najis dan kerana kesan panas dan angin kesan najis tersebut telah hilang sehingga tiada warna, rasa dan baunya lagi.

Cara Bersuci

Najis ainiah hendaklah dicuci sehingga tiada lagi sebarang sifat warna, bau dan rasa. Seterusnya hendaklah dialirkan air mutlak sekurang-kurangnya sekali. Daripada Asma ra menyatakan : Telah datang seorang perempuan kepada Nabi saw lalu berkata :

“Apa pandanganmu tentang darah Haid yang terkena pakaian. Nabi saw bersabda: Hilangkan kesan darah tersebut, kemudian gosokkan dengan air, kemudian basuhlah ia, kemudian kamu sembahyanglah dengannya”. (Riwayat Al-Bukhari)

Najis hukmiah memadailah dengan mengalirkan atau Menjirus air mutlak pada tempat yang terkena najis. Memadai juga dengan merenjiskan air ketempat yang mempunyai kesan najis tersebut.

Tambahan

Ada beberapa maklumat tambahan yang perlu diberi perhatian mengenai najis ini, Di antaranya :
  1. Mayat manusia dan mana-mana anggotanya yang tercerai semasa hidup atau mati adalah suci. Firman Allah yang berbunyi : “Dan Sesungguhnya Kami telah memuliakan anak-anak Adam; dan Kami telah beri mereka menggunakan berbagai-bagai kenderaan di darat dan di laut; dan Kami telah memberikan rezeki kepada mereka dari benda-benda yang baik-baik serta Kami telah lebihkan mereka dengan selebih-lebihnya atas banyak makhluk-makhluk yang telah Kami ciptakan.” (Al-Israk : 70)

  2. Bangkai binatang yang haram dimakan dan mana-mana anggotanya yang tercerai semasa hidup atau mati adalah najis. Firman Allah yang berbunyi : “Diharamkan kepada kamu (memakan) bangkai (binatang yang tidak disembelih), dan darah (yang keluar mengalir), dan daging babi (termasuk semuanya), dan binatang-binatang yang disembelih kerana yang lain dari Allah.” (Al-Maidah : 3)

  3. Bangkai binatang yang halal dimakan yang mati secara tidak disembelih menurut sembelihan syara` adalah najis.

  4. Bulu binatang yang halal dimakan adalah suci walaupun bercerai semasa hidupnya.

  5. Bulu binatang yang haram dimakan adalah najis.

  6. Kulit binatang samada yang halal dimakan atau yang haram dimakan, kecuali babi, anjing, anak kacukan keduanya atau salah satu dari keduanya menjadi suci dengan disamak.

  7. Arak yang berubah menjadi cuka adalah suci dan halal dimakan.

Najis Mughallazah

Menurut Dato’ Ismail Kamus dan Mohd Azrul Azlen Ab. Hamid dalam bukunya Indahnya Hidup Bersyariat mengatakan bahawa :

“Najis Munghallazah ialah najis berat iaitu najis babi dan anjing. Segala perkara yang ada hubungannya dengan kedua-dua binatang tersebut seperti tahi, kencing, daging, kulit dan sebaginya dikira najis munghallazah. Ini termasuk juga anak yang lahir salah satu daripadanya.”

Rumusan daripada pendapat di atas mengatakan najis mughallazah ialah anjing dan babi dan keturunan dari keduanya atau salah satu dari keduanya. Firman Allah yang berbunyi :

“Sesungguhnya Allah hanya mengharamkan kepada kamu memakan bangkai, dan darah, dan daging babi, dan binatang-binatang Yang disembelih tidak kerana Allah maka sesiapa terpaksa (memakannya kerana darurat) sedang ia tidak mengingininya dan tidak pula melampaui batas (pada kadar benda Yang dimakan itu), maka tidaklah ia berdosa. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” (Al-Baqarah : 173)

Abu Hurairah ra berkata Rasulullah SAW bersabda :

“Cara menyucikan bejana milik salah seorang kamu apabila dijilat anjing hendaklah dibasuh sebanyak tujuh kali, salah satu daripadanya mestilah menggunakan tanah.” (Riwayat Muslim, Ahmad, Abu Daud dan Al-Baihaqi)

Peringatan, sesiapa yang tersentuh anjing yang kering dengan tangan yang kering tidaklah dikirakan najis. Sekiranya salah satu di antara keduanya basah atau kedua-duanya basah, maka dikira najis dan ianya wajib disamak. Menyentuh babi yang kering ataupun basah adalah dikira najis (Wajib disamak).

Cara Bersuci
Cara menyucikan najis mughallazah ini, ialah dengan dibasuh tujuh kali. Sekali dengan air tanah (air yang dicampur dengan tanah yang suci). Kemudiaan dibasuh dengan air mutlak sebanyak enam kali ditempat yang terkena najis sehingga hilang ain, bau dan rasanya. Jika tidak hilang najis itu walaupun dibasuh sehingga beberapa kali, maka hendaklah ditambah sehingga hilang kesan najis tersebut.

Tambahan

Sebagai umat Islam perlu berjaga-jaga dengan produk-produk yang diperbuat daripada kulit babi, cara hendak mengetahui produk yang diperbuat daripada kulit babi ini adalah seperti terdapat tompok tompok di dalamnya terkandung titik tiga secara berdekatan. Ini adalah sedikit tips untuk mengesan barangan yang diperbuat daripada kulit babi.

Bagaimana pula orang yang telah menggunakan barangan yang diperbuat daripada kulit babi? Jawapannya anda jangan menggunakan barang itu lagi, anda perlu menyucikan tempat dan kawasan yang terkena barang tersebut dengan dibasuh 7 kali dan sekali dengan air tanah.

Memadai setiap pembelian dan barang yang dimiliki diyakini bahawa barang tersebut adalah suci dan tidak terlibat dengan unsur najis muqallazah. Elakkan dari mencari dari mana barang ini diprodukkan, dari apa ia diperbuat dan siapa yang membuat. Jika anda mencarinya, dikuatiri anda akan menghadapi masalah atau kesulitan yang besar di masa akan datang. Anda tidak berdosa jika barang yang anda miliki diyakini bersih dan terhindar dari najis muqallazah berdasarkan bukti-bukti tertentu dari sumber yang boleh dipercayai.

Benda-Benda Yang Tidak Dikira Najis

Haiwan yang mati tanpa disembelih dikira sebagai bangkai yang bernajis kecuali beberapa benda yang tidak dikira najis :
  1. Mayat manusia sama ada Islam atau kafir.

  2. Ikan sama ada besar atau kecil halal dimakan.

  3. Belalang.

  4. Ulat dalam buah-buahan atau seumpamanya yang ada dalam makanan. Kalau diketahui ada ulat dalam buah-buahan dan dimakannya bersama , maka hukumnya makruh.

  5. Semua binatang yang darahnya tidak bersifat mengalir, maka air tidak menjadi najis jika binatang berkenaan jatuh ke dalamnya. Tetapi memakannya tetap dilarang.

Najis Yang Dimaafkan

Tiada sebarang najis yang dimaafkan. Walaupun begitu, syarak memberi kemaafan terhadap kadar benda najis yang sedikit yang sulit untuk dielakkan, begitu juga untuk memudahkan dan bertolak ansur kepada umatnya. Oleh yang demikian, najis-najis berikut adalah dimaafkan :
  1. Najis yang tidak dapat dilihat oleh pandangan sederhana seperti darah yang sedikit dan percikan air kencing.

  2. Darah jerawat, darah bisul, darah kudis atau kurap dan nanah yang sedikit dan tidak menjijikkan.

  3. Darah binatang yang tidak mengalir darahnya seperti kutu, nyamuk, agas dan pijat.

  4. Tempat berbekam, najis lalat, kencing tidak lawas, air kurap atau kudis.

Tuesday 22 November 2011

AIR MATA KEINSAFAN ORANG BERIMAN


Airmata Keinsafan. Panglima Romawi yang Bertaubat Kesabaran Imam Al-Baqir dan Taubat Orang Nasrani Taubat Seorang Wanita Buta Taubat Lelaki yang Sibuk Taubat Para Wali Panglima Romawi yang Bertaubat
Terjadinya peperangan Yarmuk, salah seorang panglima Romawi yang bermana George memanggil Khalid bin Walid. Kedua orang paglima itu saling mendekat sampai kedua kepala kuda mereka saling bertemu. Kepada Khalid, George bertanya: “Wahai Khalid, aku meminta kamu berbicara dengan jujur dan jangan berdusta sedikitpun, kerana Tuhan Yang Maha Mulia tidak pernah berdusta, dan jangan pula kamu menipuku, kerana sesungguhnya orang yang beriman itu tidak akan berdusta di sisi Allah.”


“Tanyalah apa yang ingin engkau tanyakan,” kata Khalid.
“Apakah Allah menurunkan kepada Nabi-Nya Muhammad SAW sebuah pedang dari langit kemudian diberikannya kepadamu sehingga jika kamu pakai pedang itu untuk berperang, pasti kamu akan menang?”
“Tidak!” Jawab Khalid.
“Apakah sebabnya kamu digelar dengan Saifullah (Pedang Allah)?” Tanya George.

Khalid menjawab: “Ketika Allah SWT mengutus Nabi Muhammad SAW, seluruh kaumnya sangat memusuhinya termasuk juga aku, aku adalah orang yang paling membencinya. Setelah Allah SWT memberikan hidayah-Nya kepadaku, maka aku pun masuk Islam. Ketika aku masuk Islam Rasulullah SAW menerimaku dan memberi gelaran kepadaku “Saifullah” (pedang Allah).”
“Jadi tujuan kamu berperang ini untuk apa?” Tanya George.
“Kami ingin mengajak kamu supaya bersaksi bahawa tidak ada Tuhan melainkan Allah dan Muhammad itu adalah utusan Allah dan kami juga ingin mengajak kamu untuk mempercayai bahawa segala apa yang disampaikan oleh Nabi Muhammad SAW itu adalah benar.” Jawab Khalid.
George bertanya: “Apakah hukumannya bila orang itu tidak mahu menerimanya?”
Jawab Khalid: “Hukumannya adalah harus membayar jizyah, maka kami tidak akan memeranginya.”
“Bagaimana kalau mereka tidak mahu membayar?” Tanya George.
“Kami akan mengumumkan perang kepadanya,” kata Khalid bin Walid.
George bertanya: “Bagaimanakah kedudukannya jika orang masuk Islam pada hari ini?”
Khalid menjawab: “Di hadapan Allah SWT, kita akan sama semuanya, baik dia orang yang kuat, orang yang lemah, yang dahulu mahupun yang kemudian masuk Islam.”
“Apakah orang dahulu masuk Islam kedudukannya akan sama dengan orang yang baru masuk?” Tanya George.
Khalid menjawab: “Orang yang datang kemudian akan lebih tinggi kedudukannya dari orang yang terdahulu, sebab kami yang terlebih dahulu masuk Islam, menerima Islam itu ketika Rasulullah SAW masih hidup dan kami dapat menyaksikan turunnya wahyu kepada baginda. Sedangkan orang yang masuk Islam kemudian tidak menyaksikan apa yang telah kami saksikan. Oleh kerana itu siapa saja yang masuk Islam yang datang terakhir maka dia akan lebih mulia kedudukannya, sebab dia masuk Islam tanpa menyaksikan bukti-bukti yang lebih meyakinkannya terlebih dahulu.”
George bertanya: “Apakah yang kamu katakan itu benar?”
“Demi Allah, sesungguhnya apa yang aku katakan itu adalah benar,”jawab Khalid.
George berkata: “Kalau begitu aku akan percaya kepada apa yang kamu katakan itu, mulai saat ini aku bertaubat untuk tidak lagi memusuhi Islam dan aku menyatakan diri masuk ke dalam agama Islam, wahai Khalid tolonglah ajarkan aku tentang Islam.”
Lalu Khalid bin Walid membawa George ke dalam khemahnya, kemudian menuangkan air ke dalam timba untuk menyuruh George bersuci dan mengerjakan solat dua rakaat. Ketika Khalid bersama dengan George masuk ke dalam khemah, maka tentera Romawi mengadakan serangan besar-besaran terhadap pertahanan umat Islam. Setelah selesai mengerjakan solat, maka Khalid bin Walid bersama dengan George dan kaum Muslimin lainnya meneruskan peperangan sampai matahari terbenam dan di saat itu kaum Muslimin mengerjakan solat Zohor dan Asar dengan isyarat sahaja.
Dalam pertempuran itu, George yang telah bergabung dengan barisan kaum Muslimin itu terbunuh, dan dia hanya baru mengerjakan solat dua rakaat bersama dengan Khalid bin Walid. Walaupun demikian, ia telah menyatakan keIslamannya dan berjanji untuk tidak akan kembali lagi kepada agama lamanya. Semoga Allah menempatkan George ke dalam golongan orang-orang yang mati syahid. Amin.

Kesabaran Imam Al-Baqir dan Taubat Orang Nasrani Seorang Nasrani bermaksud mengejek-ejek Imam Muhammad bin Ali bin Husain yang digelar orang dengan panggilan “Al-Baqir” (yang luas pentahuannya). Orang Nasrani itu berkata kepadanya: “Engkau adalah baqar (lembu).” Maka Imam Baqir menjawab dengan penuh kelembutan: “Bukan, tetapi saya adalah Al-Baqir.” Orang Nasrani tersebut tidak menghiraukan jawapan itu. Selanjutnya ia berkata: “Engkau adalah anak seorang tukang masak. Engkau adalah anak seorang wanita hitam yang mulutnya berbau busuk.” Al-Baqir menjawab: “Seandainya engkau benar, maka aku doakan semoga wanita itu diampuni oleh Allah, dan jika engkau bohong, maka aku doakan semoga Allah mengampunimu.”
Ternyata sikap lemah-lembut dan pemaaf yang dimiliki oleh Imam Muhammad bin Ali bin Husain itu telah menimbulkan rasa kagum pada diri orang Nasrani tersebut, sehingga akhirnya diapun bertaubat untuk tidak mengulangi lagi perangai buruknya itu dan menyatakan dirinya masuk ke dalam agama Islam.
Taubat Seorang Wanita Buta Saleh Al-Muri bercerita, bahawa dia pernah melihat seorang perempuan tua memakai baju kasar di Mihrab Daud Alaihissalam. Perempuan yang telah buta matanya itu sedang mengerjakan solat sambil menangis terisak-isak. Setelah selesai solat dia mengangkat wajahnya ke langit dan berdoa: “Wahai Tuhan Engkaulah tempatku memohon dan Pelindungku dalam hidup. Engkaulah penjamin dan pembimbingku dalam mati. Wahai Yang Maha Mengetahui perkara yang tersembunyi dan rahsia, serta setiap getaran batin tidak ada Raja bagiku selain Engkau yang kuharap dapat mengelak bencana yang dahsyat.” Saleh Al-Muri memberi salam kepada perempuan tersebut dan bertanya: “Wahai puan! Apa yang menyebabkan hilangnya penglihatanmu?” “Tangisku yang disebabkan sedihnya hatiku kerana terlalu banyaknya maksiatku kepada-Nya, dan terlalu sedikitnya ingatan dan pengabdianku kepada-Nya. Jika Dia mengampunkan aku dan menggantinya di akhirat nanti, adalah lebih baik dari kedua-dua mataku ini. Jika Dia tidak mengampunkan aku, buat apa mata di dunia tetapi akan dibakar di nereka nanti.” Kata perempuan tua itu.
Saleh pun ikut menangis kerana sangat terharu mendengar hujjah wanita yang menggerunkan itu. “Wahai Saleh! Sudikah kiranya engkau membacakan sesuatu dari ayat Al-Quran untukku. Kerana aku sudah sangat rindu kepadanya.” Pinta perempuan itu. Lalu Saleh membacakan ayat yang ertinya: “Dan mereka tidak menghormati Allah dengan penghormatan yang semestinya.” (Al-An’am: 91)

“Wahai Saleh, siapakah yang berkhidmat kepada-Nya dengan sebenarnya?” Kata perempuan itu lalu menjerit kuat-kuat dengan jeritan yang boleh menggoncangkan hati orang yang mendengarnya. Dia jatuh ke bumi dan meninggal dunia seketika itu juga. Pada suatu malam Saleh Al-Muri bermimpi berjumpa dengan perempuan tua itu dalam keadaan memakai baju yang sangat bagus. Dalam mimpi tersebut Saleh bertanya: “Bagaimana keadaanmu sekarang?”
Perempuan itu menjawab: “Sebaik saja rohku dicabut, aku didudukkan di hadapan-Nya dan berkata: “Selamat datang wahai orang yang mati akibat terlalu sedih kerana merasa sedikitnya khidmatnya kepada-Ku.”
Taubat Lelaki yang Sibuk Diceritakan bahawa ada seseorang menceritakan kepada Hasan Al-Basri: “Wahai Abu Said! Di sini ada seorang lelaki yang tidak mahu berkumpul dengan orang ramai. Dia sentiasa duduk sendirian saja.” Hasan pergi kepada orang yang dimaksudkan itu dan berkata: “Wahai hamba Allah! Aku melihat engkau suka duduk menyendiri saja. Mengapa engkau tidak suka bergaul dengan orang ramai?” “Ada suatu perkara yang telah menyibukkan aku dari berkumpul dengan manusia.” Sekurang-kurangnya engkau pergi kepada lelaki yang dipanggil sebagai Hasan Al-Basri dan duduk di majlis ilmunya.” kata Hasan lagi.
“Ada satu perkara yang mencegah aku dari berkumpul dengan manusia termasuk Hasan Al-Basri.” Kata lelaki itu.
“Semoga Allah merahmatimu. Apakah gerangan yang sentiasa menyibukkan engkau?”
“Aku setiap hari tersepit di antara nikmat dan dosa. Maka setiap hari diriku sibuk mensyukuri nikmat-nikmat Allah dan sibuk bertaubat atas dosa-dosa tersebut.” Jawab lelaki itu.
“Wahai hamba Allah! Kalau begitu engkau lebih alim dari Hasan Al-Basri. Maka kekalkanlah amalan yang telah engkau lakukan.” Kata Hasan Al-Basri.
Taubat Para Wali Zun Nun Al-Misri mendengar bahawa ada seorang yang sangat alim dan zuhud, maka pergilah dia ke sana untuk belajar. Sesampainya di sana dia menjumpai seorang lelaki menggantungkan dirinya pada sebatang pokok dengan kepala ke bawah. Orang itu berkata: “Wahai diri! Tolonglah aku dalam mentaati Allah. Kalau tidak nescaya aku akan hukum engkau dalam keadaan seperti ini sampai engkau mati kelaparan.” Zun Nun mendekati orang itu lalu memberi salam dan dia menjawab.
“Apa yang telah terjadi dengan engkau ini?” Tanya Zun Nun.
“Tubuhku ini telah menghalangi aku untuk berseronok dengan Allah, kerana ingin bersuka-suka dengan manusia.” Jawab orang itu.
Dengan jawapan itu, Zun Nun menyangka bahawa orang itu telah menumpahkan darah sesama Muslim atau telah berbuat dosa besar lainnya.
“Apa yang telah engkau lakukan?” Tanya Zun Nun.
“Tahukah engkau bahawa jika seseorang itu bercampur baur dengan orang lain, banyak perkara yang boleh berlaku?”
“Kalau begitu, engkau ini betul-betul orang warak dan alim,” kata Zun Nun.
“Mahukah aku tunjukkan kamu orang yang lebih alim dariku?” kata orang itu.
“Boleh juga,” kata Zun Nun.
“Nah, sekarang pergilah engkau agak ke atas bukit ini. Insya Allah, engkau akan berjumpa dengan wali Allah yang saya maksudkan itu,” kata lelaki itu.
Maka segeralah Zun Nun mendaki agak sedikit ke atas lagi sehingga akhirnya ia berjumpa dengan satu tempat pertapaan yang di dalamnya ada seorang pemuda sedang duduk bersila, sementara di hadapan pintu pertapaan itu ada sebelah kaki yang terpotong membusuk dan dimakan ulat. Zun Nun sangat ngeri dan tidak faham apa yang dilihatnya itu. Maka diapun bertanya kepada pemuda tersebut apa ertinya semuanya itu.
Pemuda itu menerangkan bahawa pada suatu hari dia sedang duduk di dalam beribadahnya, tiba-tiba ada seorang perempuan yang melintas di luar. Apabila dia terpandang kepadanya, timbul keinginannya kepada wanita cantik itu dan cuba untuk mengejarnya dari belakang. Akan tetapi, baru saja dia melangkahkan sebelah kakinya ke luar dari tempatnya, tiba-tiba dia mendengar suara: “Wahai manusia, apakah engkau tidak merasa malu? Setelah tiga puluh tahun engkau menghadapkan hati kepada Tuhan, tiba-tiba sekarang engkau telah mahu ditipu oleh syaitan dan akan mengejar perempuan jahat itu.”
Disebabkan kerana kesalahannya itulah, pemuda itu telah memotong sebelah kakinya yang telah terlanjur keluar dari tempat ibadahnya.
“Jadi aku ini sebenarnya orang berdosa,” kata lelaki itu. “Maka dari itu engkau tidak patut menemuiku yang sedang dalam penantian keputusan ini. Jika engkau ingin menjumpai seorang yang betul-betul wali, pergilah engkau ke puncak bukit ini.”
Sayang puncak bukit tersebut terlalu tinggi dan sukar untuk didaki sehingga Zun Nun tidak sanggup mencapainya. Sebaliknya dia hanya mendengarkan saja cerita si pertapa dari orang-orang yang mengetahuinya. Katanya ada seorang lelaki yang telah bertahun-tahun mengabdikan dirinya kepada Allah. Dia telah bersumpah untuk tidak makan selain dari usahanya sendiri dan tidak akan makan makanan yang telah diproses. Dengan izin Allah, sekumpulan lebah telah membuat sarang di dekat tempat ibadahnya, dengan madu lebah itulah wali tersebut mengalas perutnya.
by Ustaz Nor Amin Sayani Bin Zainal

Friday 11 November 2011

PEMBAHAGIAN JENIS AIR

Air dari segi hukum terbahagi kepada tiga jenis, Iaitu:
1. Air yang suci dan boleh menyucikan benda lain. Ia terbahagi kepada dua:
a) Air Mutlaq:
  • Air yang suci lagi menyucikan ialah air mutlaq yang kekal dengan sifat asal kejadiannya yang telah dijadikan oleh Allah s.w.t.
  • Air tersebut masih dikatakan air mutlaq walaupun ia sudah berubah disebabkan lama terbiar , disebabkan tanah, lumut dan tempat bertakung atau tempat mengalirnya mengandungi belerang . Hal ini kerana air itu sukar untuk dielakkan daripada perkara tersebut .
  • Dalil yang menunjukkan kesucian air mutlaq, sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud :

    "Daripada Abu Hurairah r.a.h. katanya , seorang Badwi berdiri lalu terkencing di dalam masjid, kemudian para sahabat pergi mencegahnya . Lalu Rasulullah s.a.w. bersabda, biarkan dia dan curahkanlah di atas air kencingnya setimba air . Sesungguhnya kamu disuruh untuk mempermudahkan bukan menyusahkan" .
  • Perintah Rasulullah s.a.w. supaya menjiruskan air ke tempat air kencing tersebut adalah dalil yang menunjukkan bahawa air tersebut mempunyai sifat menyucikan.
b) Air Musyammas:
  • iaitu air yang suci lagi menyucikan tetapi makruh menggunakannya.
  • Air yang suci lagi menyucikan yang lain tetapi makruh digunakan pada tubuh badan tidak pada pakaian.
  • Air Musyammas bermaksud air yang panas yang terdedah kepada cahaya matahari iaitu pada negeri-negeri yang beriklim panas yang mana ia boleh mendatangkan karat seperti besi, tin dan lain-lain yang mana ia memberi mudharat apabila terkena kulit atau tubuih badan menyebabkan ianya sopak, kusta dan sebagainya. Sebagaimana Sabda Rasullah s.a.w. yang bermaksud :-

    "Dari Aisyah sesungguhnya ia telah memanaskan air pada cahaya matahari maka telah bersabda Rasullah s.a.w kepadanya janganlah engkau berbuat demikian wahai Aisyah sesungguhnya air yang dijemur itu dapat menimbulkan penyakit sopak." (Riwayat Baihaqi)
2. Air yang suci tetapi tidak boleh menyucikan benda lain. Ia terbahagi kepada dua:
a) Air Musta'amal:
Iaitu air yang suci pada dirinya tetapi tidak menyucikan yang lain yang mana maksudnya dengan perkataan air itu boleh diminum tetapi tidak sah dipakai untuk menyucikan sesuatu.
  • Yang dikatakan air Musta'amal pada mengangkatkan hadas ialah basuh kali yang pertama pada mandi atau wudhu' yang wajib dan sudah bercerai daripada anggota.
  • Yang dikatakan air Musta'amal pada menghilangkan najis iaitu jika air itu tidak berubah dan tidak bertambah.
  • Air daripada pokok-pokok dan air buah-buahan seperti daripada pucuk kelapa yang dibuat nira atau akar-akar kayu.
Air yang berubah ada dua cara :-
  • Berubah dengan Taqdiri - Air yang berubah dengan Taqdiri iaitu air yang berubah hanya pada Taqdir sahaja yang tidak dapat dilihat akan perubahannya.
  • Berubah dengan Hissi - Air yang berubah pada Hissi iaitu berubah air itu dengan sesuatu yang dapat dilihat akan perubahannya.
- Cara mentaqdirkan hukum air yang bercampur dengan sesuatu yang sama rupanya dengan seperti air mawar yang telah hilang bau, rasa dan warnanya.
- pada bau hendaklah ditaqdirkan dengan bau kemenyan Arab.
- pada rasa hendaklah ditaqdirkan dengan rasa delima.
- pada warna hendaklah ditaqdirkan dengan warna anggur.
Jika berubah dengan taqdir ini maka hukumnya air musta'amal dan jika tidak berubah dengan taqdir ini maka hukumnya air mutlak.
Air yang bercampur itu ada dua cara :-
  • Majawir
    Bercampur dengan cara Mujawir iaitu air yang berubah dengan sebab termasuk di dalamnya dengan sesuatu yang dapat dipisahkan daripada air, contohnya sebuah baldi yang penuh dengan air termasuk di dalamnya sebatang kayu cendana dan kayu itu boleh dipisahkan daripada air tersebut, maka hukum air itu ialah air mutlak.
  • Mukhalit
    Bercampur dengan cara Mukhalit iaitu benda yang masuk ke dalam air itu tidak dapat dipisahkan daripada air, contohnya sebuah baldi yang penuh dengan air maka termasuk ke dalamnya nila maka dihukumnya air Musta'amal.
b) Air Muqayyad:
  • Air yang bercampur dengan sesuatu yang suci yang mengubah salah satu sifatnya (warna, rasa dan bau) menyebabkan ia tidak dipanggil air mutlaq lagi seperti air yang dicampur dengan madu, sirap dan lain-lain.
3. Air yang najis atau mutanajjis, iaitu air yang terkena benda najis. Ia terbahagi kepada dua:

a) Air yang sukatannya kurang dari dua kolah dan terkena benda najis kecuali yang dimaafkan, sama ada berubah sifat (warna, rasa dan bau) atau tidak.

b) Air yang sukatannya lebih dari dua kolah dan berubah sifat (warna, rasa dan bau) sama ada perubahan itu sedikit atau banyak.
  • Ukuran air dua kolah itu ialah sebagai berikut :-
    1. Kalau dikira dengan tin minyak tanah, maka air dua kolah itu adalah sebanyak 9 2/3 tin
    2. Kalau dikira dengan timbangan, maka berat air dua kolah itu adalah seberat 162.72 kg.
    3. Kalau dikira dengan ukuran tempat empat persegi, maka air dua kolah itu memerlukan tempat yang berukuran 60 x 60 cm.

10 PESANAN IMAM SHAFIE YANG PERLU DIIKUTI

Sebelum Imam Shafie wafat, beliau sempat berpesan kepada muridnya serta umat islam umumnya. berikut adalah kandungan wasiat tersebut:  ” Barangsiapa yg ingin meninggalkan dunia dlm keadaan selamat maka hendaklah ia mengamalkan 10 perkara:  

  • Hak kpd diri: mengurangkan tidur, mengurangkan makan, percakapan dan berpada-pada dgn rezeki yd ada.
  • Hak kpd malaikat maut: mengqadakan kewajipan2 yg tertinggal,mendapatkan kemaafan dr org yg dzalimi, membuat persediaan utk mati dan merasa cinta kpd ALLAH
  • Hak kpd kubur: membuang tabiat suka mneabur fitnah, tabiat kencing merata-rata, memperbanyakkan solat tahajjud dan membantu org yg dizalimi.
  • Hak kpd Munkar dan Nakir : tidak berdusta, berkata benar, meninggalkan maksiat dan nasihat menasihati.
  • Hak kpd mizan(neraca timbangan amalan pada hari kiamat): menahan kemarahan, byk berzikir, mengikhlaskan amaln dan sanggup menahan kesulitan.
  • Hak kpd sirat(titian yg merintangi neraka pada hari kiamat): mmbuang tabiat suka mengumpat, warak, suka membantu orang beriman dan suka berjamaah.
  • Hak kpd Malik(malaikat penjaga neraka): menangis lantaran takutkan ALLAH s.w.t, berbuat baik kpd ibu bapa, bersedekah ketika terang-terangan serta sembunyi dan memperelokkan akhlak.
  • Hak kpd Ridhzuan(malaiakt penjaga syurga): merasa redha kpd qadha’ ALLAH, bersabar menerima bala, bersyukur ke atas nikmat ALLAH dan bertaubat dr melakukan maksiat.
  • Hak kpd Nabi MUhd SAW: berselawat ke atasnya, berpegang dgn syariat, bergantung kpd al sunnah (hadith), menyayangi para sahabat dan bersaing dlm mencari kelebihan dari ALLAH.
  • Hak kpd ALLAH s.w.t: mengajak manusia ke arah kebaikan, mencegah dari kemungkaran, menyukai ketaatan dan membenci kemaksiatan.